Thursday, July 16, 2009

Kini hampir setahun berlalu........

Hari ini saya merasakan bahawa post saya bukanlah untuk apa-apa, melainkan diri saya....Ada sesuatu perkara lagi masih bermain-main di fikiran saya, menghantui diri saya, membuatkan saya semakin emosi di dalam diri saya......sejak hampir setahun lalu, ya, tarikh yang pasti saya tak akan lupakan sehingga akhir hayat saya, walaupun kini saya bahagia dengan kehidupan saya kini.....

Pertengahan tahun 2007,
Saya lihat keadaan ayah yang telah mengalami serangan strok kali ke-4, membuatkan beliau kini kelihatan lebih parah, kepedihan hati, kesayuan melihatkan keadaan beliau, perlu disalurkan makanan melalui feeding tube, hanya dimasukkan dengan susu khas. Terlantar diatas katil, tidak mampu berkata-kata walaupun sepatah, tangan kanan yang lumpuh, tubuh yang semakin kurus dimamah usia. Saya hanya mampu menangis di dalam hati, namun tidak mampu menitiskan air mata, entah mengapa hati saya memang keras ketika itu, pada ketika itu, tanpa mempedulikan bagaimanakah kadar sembuh ayah saya, berapa peratuskah peluang untuk beliau sembuh, saya buang jauh2 kesedihan itu, dengan harapan ayah akan sembuh dan ini hanya ujian Allah untuk sementara sahaja.

Awal tahun 2008,
Saya tetap optimis walaupun akur melihat keadaan ayah, yang sudah mula tidak boleh berjalan, terlantas di kerusi malas, masih dibekalkan makanan melalui feeding tube, saya masih optimis, masih merasakan ada jalan lagi. Dan pernah suatu ketika, ayah memanggil-manggil saya tanpa suara, hanya isyarat, dan apabila saya hampir dengannya, ayah merangkul saya, mengucup saya, setelah sekian lama ayah tidak berbuat begitu kepada saya. Saya masih juga keras ketika itu, kerana dalam fikiran saya hanyalah.....Optimis, Optimis, Optimis, Optimis, Optimis dan Optimis. Namun saya tidak pernah melihat raut wajah ayah seperti itu seumur hidup saya, namun saya merasakan ada sesuatu yang masih mengganggu fikiran saya pada ketika itu. Saya mula merasakan ayah sudah boleh merasakan sesuatu yang tidak dapat dia ungkapkan, namun benar-benar mengganggu jiwa saya.

April 2008,
Dalam kesibukan pengajian saya, pada suatu pagi pada pukul 2.00 pagi, saya dikejutkan dengan pemergian nenek saya, saya lihat ayah dalam kesedihan yang tidak dapat diungkapkan, kadangkala hanya termenung panjang, kadangkala seolah-olah menyatakan kepada saya bahawa dia juga menghitung hari, menunggu saat-saat untuk pergi, kembali ke Rahmatullah, saya melihat ayah hanya tinggal tulang, sangat-sangat lemah, tidak bermaya, dan betapa buruknya sikap saya, kadang-kadang seolah-olah tidak mempedulikan beliau, hanya sibuk dengan urusan sendiri, dan kadang-kadang jarang balik, hanya melayan diri yang dalam kesempitan hidup, kerana hanya mahu berdikari. Dan bodohnya diri saya, pada ketika ini saya tidak dapat menjadi teman yang sangat rapat dengannya, namun saya faham ayah seolah-olah memaafkan keadaan saya, beliau tetap ingin bersama saya, seolah-olah cuba menyampaikan suatu amanah yang tidak dapat beliau ungkapkan, namun pada ketika itu saya hanya sibuk dengan urusan saya.

Ogos 2008,
Seminggu sebelum 13 Ogos 2008, saya menerima panggilan ibu saya, meminta saya pulang ke rumah, untuk menjenguk ayah, setelah sebulan tidak pulang ke rumah, betapa bodohnya saya. Namun pada ketika itu saya masih leka dan sibuk dengan urusan saya seharian, saya cuma memberi alasan untuk menangguhkan kepulangan saya itu. Mendengarkan jawapan saya, ibu seolah-olah hampa, dan terus memutuskan talian perbualan kami ketika itu. Dan saya masih leka, membuat persiapan untuk peperiksaan saya.
Pada pagi 13 Ogos, saya dikejutkan dengan berita pemergian ayah saya, saya terdampar, menangis teresak-esak, menyesali tindakan saya, menyesali bahawa saya tidak dapat berada disisi beliau di saat-saat pemergian beliau, tidak dapat mengungkapkan bahawa saya amat menyayangi ayah, amat sedih kerana tidak dapat berbakti sepenuhnya, dan saya amat-amat sedih bila mengenangkan kembali pada ketika hayatnya masih ada, dan pada malam ini, saya masih terbayang-bayang semua ini, dan hampir setiap malam, sehinggakan saya sendiri tidak dapat tidur, dan menitiskan air mata, walaupun saya seorang lelaki, namun itulah naluri seorang anak, itulah hakikatnya, dan selepas pemergiannya, saya masih bersedih, bersedih hinggakan aturan tidur saya sudah tidak normal, ya....sudah setahun selepas saya sentiasa mengingatinya, dengan penuh penyesalan, yang sudah tentunya tidak berguna lagi....

AL-FATIHAH
Mohammed Bin Yasok
1958-2008

3 comments:

  1. u're patient son...al-fatihah for uncle...ok cousin???life must be go on :)

    ReplyDelete
  2. hahahahaha siap testing blog comment... xleyh blah betol cousin aku nehh!!! :P

    ReplyDelete